Monday, October 27, 2008

KEHILANGAN MONALISA

1.Aku dan batch 2-2004 baru kehilangan Monaliza (Mona) 2 minggu lepas akibat kanser. Setiap kali teringatkan Mona air mataku mengalir laju. Aku dan arwah berkawan baik semasa kursus DPA dan kami juga serumah sewaktu mula-mula posting dahulu bersama 7 rakan yang lain. Aku dan arwah berkongsi bulan kelahiran yang sama iaitu November. Aku 20 hb (Ahad) dan arwah 21 hb (Isnin). Arwah juga meninggal pada Isnin 13, Okt 2008.

2. Semasa kami serumah ada peristiwa yang menarik yang ingin aku ceritakan. Ada seorang rakan serumah kami yang boleh menjadi fortune teller berdasarkan kepada buku yang ada padanya. Seorang demi seorang daripada kami yang di'tilik'nya termasuk aku. Bagai manapun, kami anggap ianya just for fun sahaja kerana baginda SAW melarang Muslim mengujungi tukang tilik/tenung/nasib apatah lagi mempercayainya.

3. Bila tiba time arwah,aku teringat lagi kata-kata rakan kami itu mengatakan bahawa antara ramai-ramai orang, arwah lah yang akan hidup lama hingga umur 70-80 tahun. Tapi hari ini beliau sudah tiada kerana Allah lebih menyayanginya. Lantas, bagaimana dengan 'tilikan' itu? Princess D selepas bercerai dengan Putera Charles, ada yang meramalkan beliau akan berkahwin dan mendapat anak perempuan. Apa yang jadi selepas itu? Beliau meninggal dalam kemalangan kereta, bukan? Hanya Allah sahaja yang maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. Apakah pengajaran dan iktibar yang kita dapat?

Pertama: Bukan tapak tangan yang menentukan nasib, ajal, rezeki, jodoh, bahagia atau celakanya seseorang.

Kedua: Manusia boleh mengubah nasibnya dengan berikhtiar/ usaha, berdoa dan bertawakkal. Walau bagaimanapun Allah yang menentukan segala-galanya.

Ketiga: Sekiranya kita ingin mengubah taqdir diri kita (katakanlah taqdir buruk) maka kita bolehlah berdoa semoga Allah mengubahnya kepada taqdir/ kesudahan yang baik. Contohnya doa Sayyidina 'Umar R.A. Lebih kurang begini pengertiannya " Ya Allah, sekiranya Engkau telah menulis taqdir buruk/celaka bagiku maka SAPULAH, tulislah taqdir yang BAIK bagiku"

Kempat : Antara lima perkara ghaib yang tidak diketahui oleh manusia Ilmu tentang apa yang ada di dalam rahim ibu, Ilmu tentang Hari Kebangkitan, Ilmu tentang apa yang akan seseorang perolehi kesokan hari, Ilmu tentang tempat dan hari seseorang akan MATI dan Ilmu tentang waktu Allah akan turunkan hujan.
Kelima: Penting mengingati MATI, kerana kematian akan datang kepada kita pada bila-bila masa dan di mana sahaja tanpa mengira tua atau mudanya seseorang itu. Oleh itu, sentiasalah kita bersedia sepanjang masa. Seboleh-bolehnya maafkanlah semua orang sebelum kita tidur dan jagalah lisan kita daripada mengumpat dan menyebarkan fitnah.
Al-Fatihah untuk arwah dan semoga Allah SWT menempatkan beliau di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Amin.

Sunday, October 26, 2008

INILAH BLOGKU

1. Ini adalah blogku. Aku selalu membaca blog rakan-rakan yang berlatarkan pelbagai pengkisahan tentang diri mereka, tentang orang-orang sekeliling mereka, tentang isu-isu semasa dan apa yang mereka lihat/ rasa.

2. Mengapa orang berblog? Pada zaman langit terbuka ini, semua orang boleh menyuarakan isi hati mereka dan blog inilah cara yang paling mudah,paling cepat dan yang paling penting percuma. Blog boleh dilayari/ diupdate tidak kira tempat, waktu dan tika.

3. Bagi seorang pensyarah, blognya mungkin mengandungi bahan pengajaran atau kertas kerja yang telah dibentangkan. Bagi seorang chef, blognya pasti mengandungi resepi masakan. Bagi seorang commoner, blognya mengandungi pengkisahan tentang dirinya, keluarganya dan apa yang berlaku di sekelilingnya. Maka inilah juga tema blogku ini.

4. Sebenarnya sudah lama aku tidak menulis mengenai sesuatu. Justeru itu, bahasa aku ini agak tidak teratur sedikit. Kepada para pengunjung, selamat melayari blogku.